MUAR: Seorang lelaki berusia 34 tahun ditetak sehingga mati oleh bapa mertuanya selepas tidak berpuas hati dengan layanan buruk mangsa kepada anak perempuannya. Warga emas berusia 60-an itu turut membawa beberapa orang kawannya untuk bersemuka dengan mangsa, Lim Wei Kuan di rumah anak perempuannya di Lorong Eng Peng, Jalan Kim Kee lebih kurang pukul 1.30 pagi Jumaat. Marah dengan Lim yang tidak melayan anaknya dengan baik, lelaki warga emas itu terus menekan Lim untuk beri penjelasan mengenai masalah dalamannya. Pertengkaran itu membawa kepada pergaduhan apabila kawan warga emas itu menyerang mangsa dengan senjata tajam yang dipercayai pedang samurai. Situasi bertukar menjadi lebih ganas dan Lim ditetak empat kali berdekatan dengan jantungnya manakala bapa mertuanya itu juga turut menetak beberapa kali di bahagian tubuh dan leher mangsa. Jiran Lim, yang tidak mahu dikenali berkata, dia tersedar dari tidur apabila terdengar bunyi bising di luar rumahnya. "Beberapa jiran lain turut keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku, dan kami hanya berada di luar rumah masing-masing. "Tetapi apabila melihat mereka bergaduh, saya kembali masuk ke dalam rumah kerana tidak mahu masuk campur dengan masalah keluarga mereka," jelasnya. Jiran tersebut menambah, dia kembali bergegas keluar rumah beberapa minit kemudian selepas mendengar jeritan minta pertolongan dan terkejut apabila melihat beberapa lelaki berlari ke arah berlainan dan bapa mertua lelaki itu dipenuhi darah. Ketua Polis Daerah Muar, Azman Ayoh mengesahkan kes ini dan berkata pihak polis telah ke lokasi kejadian selepas menerima laporan daripada orang awam. "Kami telah menangkap beberapa individu dan mengambil kenyataan bagi membantu siasatan," katanya.