suria

Ras & Agama Sering Dijadikan Isu Politik Bacul

NEGARA kita tak habis-habis bergelut dengan isu-isu politik dan perkauman yang menguji tahap toleransi di antara satu sama lain dalam masyarakat kita yang berbilang bangsa ini.

Aduh…adakah kita akan terus diuji dan dicabar hingga ke tahap tidak lagi dapat dikawal dan merugikan sekalian rakyat? Diharapkan tidak.

Syukur, rakyat Malaysia, pada keseluruhannya, semakin lali dan jemu dengan isu-isu perkauman dan ras yang dipermainkan oleh politikus yang bacul.

Dan apa pun perbalahan yang cuba diterbitkan oleh mereka yang tidak bertanggung jawab, rakyat sendiri dapat menangkisnya dengan pemikiran yang waras tanpa bantuan para politikus yang berhati batu.

Namun, sekejap-sekejap kita mendengar dan membaca mengenai konflik dan ketegangan akibat aksi menghina dan memperlekehkan adat, adab, budaya dan agama yang berbeza.

Siapa tak ingat kisah pasangan gila seks yang menawarkan umat Islam berbuka puasa dengan hidangan bak kut teh (sup tulang rusuk khinzir) tahun lalu?

Ada di kalangan kita yang berpendapat, mempersendakan sesuatu agama merupakan kebebasan yang paling murni.

Entah apa sebabnya, ras dan agama mudah sangat menjadi bahan mencaci, sama ada secara suka-suka, untuk menyakitkan hati orang lain atau untuk membuat lawak.

Sesetengah kejadian dapat dikesan serta merta dan membolehkan kita membuat pengawasan awal.

Bagi yang lain, libasannya dirasai kemudian dan kekadang tatkala sudah terlambat untuk dibendung.

Setiap generasi baru yang muncul pasti akan berhadapan dengan kemusykilan ini.

Bagi pencetus konflik, tujuannya adalah untuk "score points" ke atas lawannya dan jika usahanya itu juga mewujudkan rasa benci yang meluas, itu dianggap suatu bonus.

Tapi, pada hakikatnya, tiada siapa yang meraih untung daripada ini semua.

Terbaru, sekumpulan orang yang amarah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke atas parti sokongan mereka, telah menyerbu masuk ke dalam dewan tersebut untuk bersemuka dan menuntut ahli yang berhormat itu memohon maaf secara terbuka.

Mereka minta dia memohon maaf kerana ungkapan ‘celaka’ yang berulang-ulang kali disebutnya dalam salah satu perbahasan dalam dewan.

Yang Berhormat itu berkeras kepala dan enggan meminta maaf, walaupun kumpulan yang membantah itu membalas dengan memakinya sebagai ‘paria’.

Pergolakan itu mendorong seorang politikus yang mengakui dirinya "kaki demonstrasi" mengambil kesempatan.

Pemimpin tersebut yang juga kerap di label "imam jalanan" mendesak ketua polis di negeri itu dipecat.

Dia membuat desakan itu ketika berucap di sebuah rapat umum untuk meraih sokongan bagi seorang calon pilihanraya kecil yang bukan dari jemaah partinya.

Isu di Pulau Pinang itu meruap-ruap ketika kemarahan berhubung kata-kata ‘penceroboh’ masih belum reda di merata-rata tempat.

Di tahun-tahun kebelakangan ini, ramai rakyat asing telah memasuk ke negara kita tanpa apa-apa dokumen yang sah atau pun atas dokumen-dokumen palsu.

Ada juga orang pelarian atau pekerja-pekerja yang lari dari majikan di negara-negara asal mereka.

Juga, ramai membuat helah dengan bekerja di bidang-bidang yang tidak dibenarkan atau yang tidak disebut di dalam permit kerja mereka.

Kemudian mereka tinggal "lebih masa" di Malaysia atau enggan pulang ke negara asal mereka.

Di antara mereka, ada yang memegang MyKad palsu atau kad pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu yang diciplak.

Mereka inilah, sesungguhnya, merupakan penceroboh.

Negara kita tidak memerlukan orang seperti ini dan tidak mahu mereka tinggal lebih dari tempoh lawatan yang diberikan dan sudah tentu tidak mahu mereka melahirkan anak yang kemudiannya tidak mempunyai negara yang sah dan akibatnya negara kita terpaksa menanggung bebanan baru.

Walaupun demikian, ramai pendatang mudah meresap ke dalam komuniti Malaysia dan kemudian, diterima sebagai pemastautin tetap atau sebagai warga negara oleh kerana mereka sudah serasi dengan adat resam dan cara hidup orang tempatan.

Tetapi, golongan tersebut bukanlah yang disasarkan oleh sebuah badan bukan kerajaan yang tidak senang dengan "masyarakat penceroboh" yang dikatakan telah diberi banyak muka oleh kepimpinan negara.

Mengikut pertubuhan ini, golongan ini semakin berani mencampuri hal ehwal kepentingan orang Melayu dan orang Islam.

Tidak menghairankan banyak pihak merasa tidak senang dengan kenyataan itu dan bertanya: tidakkah kaum Cina, India dan lain-lain kaum yang bukan Melayu juga menabur bakti kepada negara?

Hari ini, amat mudah sesuatu itu merebak ke laman sosial, seperti di Twitter dan Facebook sekalgus mencetuskan ketegangan baru di kalangan rakyat.

Adakah media sosial telah memainkan peranan baru dalam membangkitkan hasad dengki dan rasa benci-membenci di kalangan masyarakat kita?

Tidak bolehkah golongan cerdik pandai dan golongan bijak bestari berkumpul dan berbincang antara satu sama lain cara-cara menyelesaikan masalah seperti ini?

Adakah isu-isu ras menyentuh golongan bawahan saja atau kaum-laum tertentu saja?

Sesungguhnya, persoalan-persoalan ini harus diberi perhatian dan diperbahaskan atau dibincangkan secara serius dan berilmiah.

Namun, yang penting bagi rakyat Malaysia seluruhnya ialah: Mereka tidak mahu diberitahu atau dituduh mereka bukan anak Malaysia.

Hakikatnya, rakyat Malaysia amat selesa tinggal di negara ini dan punyai rasa sayang yang mendalam kepada tanah tumpah darah mereka.

Tidakkah kita menyorak bersama untuk kemenangan pasukan negara dalam apa jua pertandingan antarabangsa? Tidakkah kita sama-sama sedih dan pilu bila bencana menimpa ke atas negara; seperti mana yang terjadi kepada MH370?

Istimewanya orang Malaysia, dia sedia dan berupaya menerima teguran, ancaman atau penentangan bagi diri sendiri dan sanggup hidup dengan pelbagai kekurangan, kelemahan dan kesempitan di tanahair sendiri.

Yang dia pantang ialah dituduh sebagai seorang pengkhianat, pembelot dan penceroboh.

MH370, DUN, Rasis

Artikel Lain