analisis BIARPUN kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor dilihat agak suram tanpa penglibatan parti kerajaan iaitu Barisan nasional (BN), namun tercalit sedikit kisah kelakar sepanjang tempoh berkempen yang berbaki sehari saja lagi. Ini kerana, kehadiran calon bebas penuh kontroversi, Abu Backer Sidek Mohamad Zan umpama seorang 'pelawak' pada PRK kali ini dengan beberapa tindakan diluar dugaan. Nama Abu Backer mula mencuri tumpuan ramai sejak hari penamaan calon 12 Mei lalu apabila beliau mencetuskan kekecohan di perkarangan Dewan Sri Pinang. Beliau didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman pada sidang media sejurus diumumkan sebagai calon yang bertanding. Tidak habis di situ, beliau kemudian 'merajuk' terhadap media apabila kempennya didakwa tidak mendapat liputan yang sewajarnya, Isnin lalu Abu Backer menangis selepas mendakwa diboikot oleh media. Malah, peguam berusia 46 tahun itu menegaskan bersedia diboikot oleh media diatas kenyataannya yang bertulis; 'media ni sebenarnya kena ajaq'. Sehari selepas itu, Abu Backer bertindak 'merempuh' kereta dinaiki Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diatas keengganan beliau bertemu dengannya selepas menunggu sejak 12.30 tengah hari di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang. Tindakan tersebut menyebabkan beliau 'pengsan' di hadapan kereta Guan Eng sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang dengan menaiki ambulans. 'Lakonannya' tidak terhenti di situ saja. Beliau mendakwa mengalami keretakan di tulang pinggul dan patah rusuk kanan serta mengalami jangkitan paru-paru. Pada Rabu lalu, beliau sekali lagi dikecam media apabila kelibatnya tidak muncul dalam sidang media di janjikan di lobi Hospital Loh Guan Lye di Jalan Macalister di sini, Rabu. Anak kelahiran Kampung Makam itu sekali lagi memungkiri janjinya apabila memberitahu ingin mengadakan sidang media bagi memaklumkan perkembangan tahap kecederaannya tetapi gagal berbuat demikian. Namun ketika kempen berbaki dua hari saja lagi, beliau kembali mencuri tumpuan apabila meneruskan kempennya dengan karavan yang digerakkan oleh trak penunda sambil diiringi seekor kuda. Pada petang Jumaat, dalam berkeadaan bertongkat, beliau mengumumkan mahu menarik balik samannya terhadap Guan Eng yang pernah disuarakannya tempoh hari. "Guan Eng sebenarnya tidak bersalah dalam hal ini. Pada waktu itu saya tidak dapat fikir dengan waras. Selepas difikir-fikir, saya tarik balik saman tersebut," katanya. Ternyata strategi kempen Abu Backer berjaya mempopularkan semula Bukit Gelugor yang mula 'tenggelam' disebabkan PRK Teluk Intan. Kempen tiga lagi calon lain tidak kurang hebatnya. Calon DAP, Ramkarpal Singh Deo dibantu jentera pilihan raya yang kuat, bahan kempen yang kreatif dan ceramahnya diadakan hampir setiap malam dengan disertai beberapa 'orang kuat' parti itu. Jalan raya di sekitar Bukit Gelugor dihiasi bendera berwarna putih merah dan poster serta kain rentang yang tertera perkataan 'I am Karpal Singh'. Kerana terlalu yakin undi pastinya berpihak kepada Ramkarpal, parti itu tidak melancarkan manifesto pilihan raya seperti mana calon lain pada minggu pertama kempen. Hanya selepas ditanya pengundi mengenainya selain dipersoal pihak lawan, DAP melancarkan manifesto di saat akhir, dua hari sebelum kempen berakhir. Menurut Ramkarpal, manifesto yang menggariskan enam perkara utama itu sebenarnya tidak diperlukan semasa berkempen kerana beliau yakin dapat bekerjasama dengan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam kawasan Parlimen tersebut sekiranya menang. Tindakan itu dikecam calon Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Huan yang mendakwa DAP menciplak manifesto kempennya. Dakwanya, hampir 60 peratus kandungan manifesto tersebut menyerupai kandungan dokumen yang dibentangkannya dua hari selepas penamaan calon. Jelas bekas Ahli Parlimen Batu Kawan itu, Ramkarpal perlu lebih banyak belajar seperti mendiang bapanya, bukannya menjadi peniru. Tidak dinafikan, antara ketiga-tiga calon lain, Huan disifatkan sebagai ancaman senyap kepada DAP. Huan yang berkempen menggunakan dua lori untuk mendekati pengundi sekadar menyifatkan beliau calon 'underdog' dengan tidak menetapkan sebarang sasaran untuk menang, hanya sekadar mengharapkan tidak hilang wang deposit. Seorang lagi calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Abd Sathar menggunakan hukum hudud untuk memancing undi masyarakat Melayu dan acap kali menegaskan dirinya ahli PAS. Walaupun status keahliannya dipertikaikan pemimpin PAS, Mohamed Nabi tetap menegaskan hudud akan dilaksanakan di negeri itu menjelang 2020 sekiranya beliau diberikan mandat oleh pengundi di kawasan tersebut. Memiliki jentera pilihan raya yang kecil dan kebanyakan posternya diturunkan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) kerana menggunakan jata negeri tanpa kebenaran, beliau 70 peratus yakin akan memenangi PRK pada Ahad ini. Di sebalik kempen yang penuh warna warni ini, PRK kali ini sukar diramal kerana ketiadaan calon berat dari Barisan Nasional (BN) sekali gus menjadikan suasana seperti hari-hari biasa. Walaupun DAP yakin mampu mempertahan kerusi tersebut, parti itu perlu berwaspada dengan ancaman pengundi yang enggan keluar mengundi sekali gus bakal memberi kesan kepada majoriti undi yang diperoleh Karpal. Namun, apa saja boleh berlaku pada Ahad apabila rakyat akan menjadi penentu calon yang menang sekali gus memberi gambaran awal terhadap kemenangan di Teluk Intan. Bukit Gelugor mempunyai 14.48 peratus atau 11,880 pengundi Melayu; 61,112 atau 74.49 peratus pengundi Cina, 8,660 atau 10.56 pengundi India dan 0.48 peratus atau 390 lain-lain kaum. Pada PRU-13 lalu, mendiang Karpal memenangi kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon BN Teh Beng Yeam, yang memperoleh 14,061 undi.