KOTA BAHARU: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan supaya mana-mana pihak yang tidak mengetahui tentang hukum hudud supaya berhenti bercakap mengenainya kerana ia boleh menjejas orang lain yang sememangnya tidak memahami undang-undang Islam itu. Beliau berkata mereka perlu sama sekali berhenti bercakap soal hukum itu kerana bimbang ia boleh mencelarukan lagi keadaan sedia ada. "Ini bukan sahaja menimbukan kekeliruan malah ia merosakkan...Kalau tak tahu jangan cakap sepatutnya...Saya tak tuju kepada sesiapa. "Mereka cakap pasal hukum hudud dan tak tahu apa...pada hal hukum hudud merupakan salah satu dari undang-undang jenayah," katanya kepada pemberita selepas Seminar Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, hari ini. Turut hadir Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Semalam, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata umat Islam perlu berhati-hati mengeluarkan pendapat mengenai hudud kerana dikhuatiri jika tersilap lafaz ia boleh menjejaskan akidah dan syahadah mereka. Pada 11 Mei PAS telah membuat pusingan-U apabila mengambil keputusan menangguhkan rancangan mereka untuk membentangkan rang undang-undang itu dalam sidang Dewan Rakyat. Pas juga telah bersetuju dengan cadangan penubuhan satu jawatankuasa teknikal antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri Kelantan untuk meneliti semula pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 Kelantan. Selain itu, Abdul Hadi berkata Pas akan mengadakan sesi dialog bagi memberikan penerangan mengenai pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di negeri Kelantan itu. "Pas akan anjur dialog...sebenarnya dulu dah ada dialog dan kami bertanggungjawab memberikan penerangan supaya mereka faham mengenai hukum hudud ini," katanya.