suria

Ceroboh DUN P.Pinang Modal Pakatan Pancing Undi

GEORGE TOWN: Insiden pencerobohan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Rabu lalu dijadikan modal kempen DAP pada hari-hari terahir sebelum penduduk Bukit Gelugor keluar mengundi, Ahad ini, walaupun kejadian itu berpunca daripada sikap biadab wakil pemimpin mereka.

Malah, isu tersebut diputarbelitkan untuk dijadikan 'umpan' memancing  undi supaya calon parti itu, Ramkarpal Singh Deo dipilih bagi meneruskan legasi bapanya, Karpal Singh di Parlimen itu.

Walaupun Barisan Nasional (BN) dan Umno tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor, tetapi tetap terkena tempias pada setiap sesi ceramah Pakatan Rakyat, seolah-olah gabungan parti pembangkang itu terdesak untuk memenangkan calonnya bukan saja di sini, tetapi juga Teluk Intan yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan calon BN, Datuk Mah Siew Keong.

Matlamat Pakatan Rakyat itu dapat diterjemahkan sedemikian apabila hampir kesemua ucapan penceramah yang terdiri daripada 'big gun' dalam parti itu membangkitkan isu sama ketika berucap di hadapan penyokong parti itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim misalnya  menggelar sekumpulan lelaki yang terbabit dalam insiden itu sebagai samseng Umno, sekali gus menyifatkan parti itu sombong dan dicemari dengan gejala rasuah.

"Mereka menggunakan cara politik samseng di mana DUN pun diserang.

"Saya nak beritahu kepada samseng ini semua, kami orang Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazan akan bangun lawan kamu," katanya pada ceramah perdana di Dewan Han Chiang, Air Itam di sini malam Jumaat.

Dakwanya, Umno merupakan sebuah kerajaan yang gagal kerana tidak boleh mempertahankan undang-undang dan hak rakyat.

"Mana polis apabila mereka tendang pintu DUN?," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut meminta Ketua Polis Negara dan Peguam Negara memandang serius insiden itu.

"Tangkap mereka, kami tidak takut.

"Saya tak ada di situ waktu itu. Saya dengar mereka pijak meja Speakers, tak cukup itu mereka baling beg. Mereka ingat beg saya tapi sebenarnya beg Ketua Pembangkang," katanya.

Setiausaha Agung DAP itu juga menyifatkan insiden tersebut sebagai perbuatan memalukan yang tidak berlaku dalam sejarah Pulau Pinang.

"Kalau betul mereka buat, saya tak akan mengaku mereka rakyat Pulau Pinang," katanya.

Ceramah yang bermula pukul 8 malam itu berjalan lancar tanpa dicemari sebarang insiden tidak diingini.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain