suria

PRK Bukit Gelugor: SPR Jangka 75 Peratus Keluar Mengundi

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan kira-kira 75 peratus bilangan pengundi akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor sebelum pusat pengundian ditutup pukul 5 petang Ahad.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, setakat pukul 11 pagi seramai 16, 418 pengundi atau 19.95 peratus telah membuang undi.

"Kita harap tidak kurang daripada 75 peratus akan keluar mengundi. Kita juga menjangkakan seramai 10 peratus akan mengundi setiap sejam.

"Buat masa ini, kita dapati pengundi yang keluar awal terdiri daripada orang tua, yang muda masih belum ramai," katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Hj Mohd Nor Ahmad di sini, Ahad.

Turut hadir Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Bagi PRK Bukit Gelugor, Kapten (B) Anuar Yahya.

Beliau berkata, jumlah peratusan yang keluar mengundi dijangka akan meningkat menjelang tengah hari Ahad.

"Kebiasaannya, bilangan keluar mengundi akan berkurangan selepas pukul 1 petang tetapi saya berharap ia akan meningkat sebelum pukul 5 petang ini," katanya.

Ketika ditanya mengenai perjalanan proses pengundian, Abdul Aziz berkata, segalanya berjalan dalam keadaan lancar dan tenang tanpa dicemari sebarang provokasi.

"Menerusi pemantauan di beberapa pusat yang saya lawati sebentar tadi, saya tidak lihat sebarang provokasi daripada mana-mana parti politik.

"Tak ada lagi kumpulan yang berkempen pada waktu ini. Keadaan berjalan aman pada PRK ini dan saya amat berpuas hati sekali," katanya.

Sementara itu, beliau menjangkakan keputusan calon yang menang akan diumumkan seawal pukul 9 malam ini.

"Saya jangka pada 6.30 petang ini banyak kotak undi bersama dengan borang 14 akan dibawa ke pusat penjumlahan dan pengiraan undi di Dewan Sri Pinang di sini.

"Jadi kita harap proses pengiraan undi dapat dilakukan secepat mungkin dan pengumuman calon yang menang dijangkakan seawal pukul 9 malam ini," katanya.

SPR, Bukit Gelugor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain