Beliau berkata, media berkaitan sering memberi fakta tidak tepat dan mengelirukan rakyat bagi memastikan kemenangan pihak pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.
Menurutnya, jumlah anggota Rela yang tidak keluar mengundi pada PRU-13 lalu diperoleh daripada senarai nama yang direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Kita memang mengetahui siapa yang mengundi atau tidak disebabkan kita ada senarai yang keluar mengundi (pada PRU-13). Kita ada senarai nama kerana mereka (anggota Rela) berdaftar dengan SPR.
Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah portal yang mengatakan beliau mengetahui mana-mana anggota Rela yang tidak keluar mengundi dan mampu memeriksa peti undi bagi melihat siapa yang mengundi walaupun identiti pengundi sepatutnya dirahsiakan.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Perak, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mohktar pada Ahad membuat laporan polis berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahmad Zahid yang menunjukkan undi bukan lagi menjadi rahsia buat anggota Rela.
Beliau berkata, ia secara tidak langsung akan menimbulkan kebimbangan di kalangan anggota Rela memandangkan mereka tahu bahawa undi mereka sedang diperhatikan dan tidak lagi menjadi rahsia.
"Saya menasihatkan supaya Ahmad Zahid menghentikan ugutan-ugutan kerana ia bertentangan dan etika pilihan raya," kata Fakhrulrazi.