suria

Sasar 3,000 Belia Sertai Agroprenuer Tahun Ini - Ismail Sabri

Siswazah tempatan antara yang didedahkan dengan program Agroprenuer.

BERA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mensasarkan sejumlah 3,000 belia berusia 40 tahun ke bawah didaftarkan di bawah program Agroprenuer tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini seramai 1,900 belia seluruh negara telah berdaftar di bawah program itu.

"Pelbagai kemudahan disediakan kementerian di bawah program tersebut antaranya (dalam) bidang keusahawanan, pertanian, penternakan dan lain-lain.

Golongan belia yang berdaftar akan diberikan latihan dalam bidang yang mereka minati supaya mahir sebelum mereka memulakan projek masing-masing, katanya kepada pemberita di sini.

Ismail Sabri berkata, Agro Bank bersedia memberi pinjaman mudah tanpa cagaran sehingga RM300,000 kepada mereka yang berhasrat memulakan projek pertanian, manakala Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) pula akan memberi antara RM50,000 hingga RM100,000 sebagai modal perniagaan.

Beliau berkata, belia yang berminat untuk menjadi usahawan dan menceburi bidang pertanian dan ternakan dipelawa menyertai program Agroprenuer itu kerana ia mampu memberikan pendapatan lumayan dan menjamin masa depan mereka.

"Segala kemudahan disediakan kerajaan adalah untuk melahirkan belia berjaya dan maju dalam membantu kerajaan menjana ekonomi negara menjelang 2020," katanya


Artikel Lain