KUALA LUMPUR: Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) mendapati kadar pematuhan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang kereta berada di tahap membimbangkan. Pematuhan undang-undang berkenaan pernah berada pada kadar 47 peratus ketika diperkenalkan pada awal 2009, tetapi menurun kepada 13 peratus, akhir tahun sama. Bagi tahun berikutnya, kadar pematuhan undang-undang pemakaian tali pinggang belakang secara konsisten berada pada tahap rendah iaitu 9.7 peratus pada 2010, 9.2 peratus (2011), 13.5 peratus (2012), 12.5 peratus pada tahun lepas dan setakat sekarang bagi 2014, pada 7.7 peratus. Kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat melalui Pentadbiran Keselamatan Pembawa Kenderaan Persekutuan mendapati berat badan penumpang belakang bertambah 30 hingga 60 kali ganda daripada berat asal semasa kemalangan pada kelajuan 50 km sejam. Hentakan dengan berat badan yang bertambah daripada penumpang belakang yang tidak memakai tali pinggang keledar secara tidak langsung mampu mendatangkan kecederaan serius kepada penumpang hadapan. Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad, dalam satu sesi temu bual khas dengan Bernama berkata, JPJ telah menjalankan operasi penguatkuasaan di seluruh negara sejak empat tahun pelaksanaan undang-undang berkenaan sementara tindakan saman mula diambil pihak berkuasa pada 1 Januari 2012 terhadap pemilik kenderaan yang ingkar. Katanya, 47,302 saman dikeluarkan JPJ sejak penguatkuasaan undang-undang itu pada awal 2012 sehingga akhir 2013 membabitkan saman terhadap kesalahan undang-undang pemakaian tali pinggang hadapan dan belakang. Johor mencatatkan kes saman paling tinggi dengan jumlah saman sebanyak 1,932 pada 2012 dan 8,997 saman pada 2013. "Tahun lalu, lebih kurang satu hingga dua operasi besar-besaran dijalankan di seluruh negara, dan pada tahun ini kita akan cuba tingkatkan kepada tiga hingga empat operasi untuk memantau pematuhan undang-undang tersebut," katanya. Peraturan penggunaan tali pinggang keledar tempat duduk belakang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2009 melalui Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan 2008) mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika sabit kesalahan, kompaun maksimum sebanyak RM300 boleh dikenakan, dan tindakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali boleh diambil mahkamah. Untuk sabitan kali kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan, atau kedua-duanya juga boleh dikenakan. Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Dr Tam Weng Wah pula berkata, tahap kesedaran di kalangan masyarakat mengenai keselamatan penggunaan jalan raya masih rendah dengan hampir 20 kematian direkodkan sehari. "Mereka adalah ibu kepada seseorang, anak kepada seseorang, suami kepada seseorang dan adalah penting jika individu itu sendiri menyedari kepentingan mematuhi undang-undang jalanraya, bukan hanya memakainya (tali pinggang keledar) kerana takut disaman pihak berkuasa," katanya. Justeru, beliau berkata, pihaknya akan mengambil pelbagai langkah bagi menurunkan kadar kematian kemalangan untuk setiap 10,000 kenderaan pada kadar dua peratus menjelang 2020. Banyak kempen kesedaran kini sedang dan akan dilakukan pihak JKJR dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan dan sekolah untuk menyemai sikap pemanduan berhemah dan memberi kesedaran akan pentingnya mematuhi peraturan jalanraya.