Ketibaan mereka dan empat guru pengiring itu disambut Pengarah Pendidikan Selangor, Datuk Mahmud Karim.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mahmud berkata kesemua mereka berada dalam keadaan baik dan hanya mengalami cedera ringan serta berjaya menyelesaikan semua aktiviti yang dirancang di sana.
"Seorang lagi guru tidak dibenarkan pulang oleh pihak hospital kerana masih menjalani rawatan pergelangan kaki dan tangan, manakala seorang lagi pelajar dibawa pulang sendiri oleh ibu bapanya," katanya.
Kumpulan terbabit dalam perjalanan ke Tasik Leschenaultia, 50 kilometer di selatan Perth, bagi mengikuti satu seminar pendidikan alam sekitar.
Mengulas lanjut, Mahmud berkata kumpulan dari Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam itu tiba di Perth pada 20 Mei lepas.
Seorang murid, Aishah Ahmad Firdaus, 12 berkata dia hanya tersedar bas terbabas selepas mendengar jeritan beberapa orang murid dan guru.
Sementara itu, guru pengiring Noraidah Badaruzaman, 33, berkata walaupun dalam kesakitan selepas kejadian, ingatan beliau hanya untuk menyelamatkan anak muridnya.
"Keadaan masa tu kabus sangat tebal dan merupakan kawasan bukit, bas juga tidak dipandu laju iaitu tidak lebih 50 km sejam," kata guru mata pelajaran Seni Visual dan Bahasa Malaysia itu.