suria

Kementerian Hasrat Latih Semula 65,000 Guru B.Inggeris

Tan Sri Muhyiddin Yassin
JOHOR BAHARU: Kementerian Pendidikan berhasrat melatih semula sehingga 65,000 guru Bahasa Inggeris pada masa akan datang bagi meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan dalam kalangan pelajar.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata seramai 5,000 orang guru Bahasa Inggeris sudah dilatih semula tahun lepas manakala 20,000 lagi pada tahun ini.

"Kita gerakkan hasrat ini tahun lepas seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam sistem persekolahan rendah dan menengah kita," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Tun Fatimah (STF) 2014, di sini, Selasa.

Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim dan Pengetua STF Kamisah Aziz.

Muhyiddin berkata penguasaan Bahasa Inggeris oleh anak-anak menjadi penekanan ibu bapa ketika ini dan sering dibincangkan tentang kepentingannya oleh masyarakat negara ini.

Beliau berkata, kementerian dalam pada itu juga berhasrat untuk melahirkan pelajar cemerlang secara holistik yang merangkumi keperibadian sahsiah dan beretika tinggi dengan tidak semata-mata sekadar mencapai kecemerlangan akademik.

"Dalam dunia serba mencabar ketika ini, ilmu sahaja tidak memadai sekiranya ia tidak digandingkan dengan sikap bertanggungjawab dan akhlak yang mulia supaya dapat memberi sumbangan kepada negara," katanya.

Berhubung STF, Timbalan Perdana Menteri memuji kejayaan sekolah terbabit muncul Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 dengan menerima tujuh Anugerah Platinum dan tiga Anugerah Perak.

STF turut menerima Anugerah Emas hasil pencapaian semua A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lepas yang menurutnya kejayaan itu dicapai hasil dorongan yang disumbang oleh guru, ibu bapa dan komuniti.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM7.7 juta yang akan disalurkan menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas bagi membina sebuah dewan serbaguna baharu dan blok asrama empat tingkat bagi menampung keperluan pelajar STF.

Artikel Lain