Ahmad Zahid berkata beliau mendapat maklumat ada pihak yang antara lain cuba mengaut keuntungan melalui pilihan raya kecil itu yang akan diadakan Sabtu ini.
"Jangan ugut orang, jangan cuba campur tangan dalam politik. Saya tahu muka mereka, saya tahu nama mereka, saya tahu mereka duduk di mana dan lari ke mana.
"Saya tahu juga ada yang sedang buka pusat judi untuk 31 hari bulan ini. Saya bukan sekadar beri amaran. Saya tahu macam mana nak lakukan," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama-sama penduduk di sini, malam Selasa.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid sekali lagi menyelar segelintir wakil media yang terus memutarbelitkan kenyataannya berhubung sumbangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Justeru, beliau mengingatkan masyarakat Teluk Intan agar tidak terperdaya dengan propaganda pihak pembangkang khususnya dalam tempoh kempen yang berbaki tiga hari lagi.
PRK Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.