BANGI: Kemangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah merupakan satu kehilangan yang amat besar buat rakyat negara ini, khususnya rakyat negeri Perak, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau mewakili kerajaan serta seluruh rakyat turut melahirkan rasa sedih dan dukacita. "Kita semua mengenali baginda sebagai seorang raja yang amat penyayang dan berhemah tinggi serta sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan rakyat jelata. "Saya mewakili kerajaan dan seluruh rakyat turut merakamkan ucapan takziah kepada Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun serta kerabat-kerabat diraja Perak," katanya dalam sidang media di sini, Rabu. Beliau berkata, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Baginda dan semoga rohnya ditempatkan bersama kalangan orang-orang beriman. Sultan Azlan Shah mangkat pada pukul 1.30 tengah hari Rabu dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar, Perak selepas solat Asar pada Khamis. Baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Feb 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.