ROMPIN: Seramai 6 orang warga asing menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan jaring berjaya ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 di perairan Tioman, Rompin, petang Selasa. Menurut kenyataan di laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), kesemua mereka adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Vietnam serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri. “Operasi yang dijalankan tujuh anggota PPM menggunakan bot PA52 berjaya merampas sebuah bot kayu, peralatan navigasi GPS, dua bidang pukat, dua gulung tali dan hasil tangkapan pelbagai jenis ikan dan sotong seberat 300 kilogram,” jelas Komander PPM Wilayah 3, Asisten Komisioner (ACP) Azmi Ibrahim. Kesemua suspek dan barangan rampasan ditahan untuk tindakan serta siasatan lanjut.