TELUK INTAN: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong akan bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya beliau kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan. Menurutnya, sebagai Presiden Gerakan, beliau menerima banyak tekanan dan akan mengambil tindakan yang sepatutnya sekiranya tewas di tangan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud pada hari mengundi Sabtu ini. "Sebagai presiden parti, tekanan yang diterima begitu besar. Saya amat prihatin terhadap parti ini dan saya akan menerima keputusan yang dibuat oleh pengundi-pengundi," katanya pada sidang media di pejabat operasi Gerakan di sini, Khamis. Dalam pada itu, Mah meluahkan rasa kecewanya ekoran tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab kerana menggunakan taktik-taktik kotor dalam berkempen. Menurutnya, banyak poster kempennya diconteng dengan cat hitam dan merah, manakala tiada satu pun poster Dyana yang diconteng. "Saya tidak berhadapan dengan taktik kotor berkempen seperti ini sejak bertanding dalam pilihan raya Parlimen Teluk Intan pada 1995, malah ketika saya tewas dengan Seah Leong Peng dan M. Manogaran kedua-duanya dari DAP," katanya. Beliau menambah, ia merupakan pilihan raya kecil yang membolehkan pengundi memilih wakili rakyat yang terbaik. "Jika mereka fikir DAP lebih baik, undilah mereka. Jika saya yang lebih baik, undilah saya. "Jadi, tidak perlu pendekatan yang boleh menunjukkan provokasi di sini. Berkempenlah secara berhemah," katanya.