TELUK INTAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelantikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong sebagai Menteri Kabinet sekiranya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan bersifat adil. Beliau berkata, keputusan itu akan memberikan lebih banyak faedah dan kepentingan kepada rakyat di kawasan parlimen itu. "Rakyat Teluk Intan perlu melihat pengumuman ini sebagai satu peluang yang amat baik untuk mereka. "Ini kerana seseorang Menteri Kabinet dapat membantu menangani banyak isu yang dibangkitkan oleh rakyat, " katanya. Beliau berkata demikian pada program bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India di Rumah Rehat Teluk Intan di sini, Jumaat. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan jawatan dalam Kabinet menanti Mah yang merupakan Presiden Gerakan sekiranya beliau memenangi pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan pada Sabtu ini. Pengerusi BN itu berkata, beliau bersedia melakukan komitmen itu kerana sebagai antara parti pengasas BN, sudah menjadi amalan untuk melantik Presiden Gerakan menganggotai Kabinet. Pada PRK Teluk Intan, Mah akan bertanding satu lawan satu dengan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng akibat kanser pada 1 Mei lalu.