suria

Keluarga Kanak-Kanak Mangsa Rogol Bersembunyi, Tidak Mahu Diganggu

KOTA BARU: Keluarga remaja berusia 15 tahun yang dirogol beramai-ramai di sebuah rumah kosong di Ketereh pada 20 Mei dikatakan sedang berada di bawah tekanan yang kuat selepas kejadian malang itu menimpa anak perempuan mereka.

Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Norazman Ab. Manaf berkata sejak insiden itu disiarkan oleh media, keluarga tersebut pergi menyembunyikan diri dan diselubungi kesedihan dan rasa malu dengan apa yang berlaku.

"Kami menghantar pegawai kaunseling kami ke rumah mereka di Kuala Krai pada Rabu tetapi rumah itu kosong. Pegawai saya berjaya mendapatkan bapanya melalui telefon dan diberitahu bahawa dia telah memindahkan keluarganya ke rumah saudara dan meminta semua pihak meninggalkan keluarganya bersendirian," kata Norazman ketika dihubungi, Jumaat.

Gadis berusia 15 tahun yang merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik mendakwa dirogol secara berkumpulan termasuk oleh seorang bapa berusia 38 tahun dan dua anaknya.

Beberapa orang suspek telah ditahan oleh polis bagi membantu siasatan selepas bapa mangsa membuat laporan polis pada 25 Mei.

Norazman berkata dalam perbualan telefon dengan bapa mangsa, dia menolak kaunseling untuk anak perempuan dan keluarganya serta meminta untuk tidak diganggu bagi membolehkan keluarganya pulih dari trauma.


"Dia juga memberitahu kami bahawa dia tidak mempunyai niat untuk bertemu sesiapa kerana ia akan menjejaskan penyiasatan polis dan berjanji untuk menghubungi kami selepas mereka telah pulih daripada pengalaman yang dahsyat ," katanya.
rogol, trauma

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain