suria

Kanak-Kanak Mati Tanpa Kepala: Suspek Kelar Leher Mangsa Guna Jubin Seramik

Ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan apabila mendapat berita Siti Soffea menjadi mangsa pembunuhan kejam. Gambar kecil Siti Soffea Emelda.
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perempuan 18 bulan yang ditemui mati tanpa kepala di Sungai Klang di sini, dipercayai dibunuh menggunakan serpihan jubin seramik, sebelum suspek terjun ke sungai itu.

Polis sudah mengenal pasti suspek kes kejam dan ngeri itu iaitu lelaki berusia lewat 30-an yang juga bekas banduan.

Sumber berkata, gambaran pada kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kompleks menunjukkan ada pengawal keselamatan melihat lelaki berkenaan berjalan bersama mangsa, Siti Soffea Emelda Abdullah.

Bagaimanapun sumber itu berkata, ketika itu mungkin pengawal keselamatan itu tidak tahu kanak-kanak itu diculik.

Siti Soffea bersama ibunya, Siti Salmy Suib, 32, di Kompleks Membeli-Belah Kota Raya dan kemudian meninggalkan anaknya bersama seorang kawan untuk ke tandas pada pukul 3 petang.

Bagaimanapun, selepas kira-kira lima minit, ibu mangsa mendapati kedua-duanya tidak kelihatan di tempat terakhir anaknya ditinggalkan di tingkat empat bangunan itu.

Siti Salmy hanya mendapat berita mengenai kejadian yang menimpa anaknya selepas polis menjejaki pergerakan kanak-kanak itu dan lelaki terbabit.

Pada kira-kira pukul 9 malam, beberapa orang awam melihat seorang lelaki mendukung Siti Soffea ke arah Sungai Klang, kira-kira 1.5 kilometer dari kompleks berkenaan.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad berkata, beliau sedang mandi di sungai berkenaan apabila melihat seorang lelaki tunduk melihat sesuatu yang seakan-akan patung.

"Apabila saya bergerak lebih dekat baharu saya nampak seorang kanak-kanak perempuan tanpa kepala hampir tenggelam dalam sungai.

"Lelaki itu nampak saya mendekatinya dan terus memandang tepat pada saya," katanya yang mendakwa melihat lelaki itu meminum darah dari kepala kanak-kanak yang dipenggal itu.

Mohammad, 29, yang tinggal di bawah jambatan kemudian meminta pertolongan rakannya yang dikenali sebagai Las.

Mohammad and Las juga mengaku melihat suspek mengelar leher Siti Soffea menggunakan serpihan jubin seramik dan mengisi darah kanak-kanak itu ke dalam botol.

"Apabila polis tiba, lelaki itu terjun ke sungai dan cuba melarikan diri," katanya yang menghubungi polis, manakala Las diminta memerhati pergerakan suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, polis percaya suspek mati lemas ketika cuba melarikan diri.

Polis kini berusaha mengesan mayat suspek di dalam sungai itu dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Kong Meng berkata, beberapa serpihan jubin seramin, kesan darah dan sepasang selipar dipercayai milik suspek ditemui di lokasi kejadian.

Pemeriksaan ke atas mayat Siti Soffea mendapati bahagian belakang kepala kanak-kanak itu juga pecah, dipercayai akibat hentakan. 



Artikel Lain