TELUK INTAN: DAP menerima kekalahan calonnya pada pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Teluk Intan dan tidak menafikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata: "Kami tidak menafikan undi memihak kepada BN... kami mengiktiraf keputusan itu, dan ia memihak kepada Mah." Ditanya sama ada DAP akan mencabar keputusan PRK itu, beliau berkata: "Saya tidak cakap saya akan cabar. Ini memerlukan masa untuk membuat penilaian." Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila diminta mengulas kemenangan Mah pada PRK itu. Mah mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti undi sebanyak 238 setelah memperoleh 20,157 undi berbanding 19,919 undi yang raih Dyana Sofya. Guan Eng, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata DAP telahpun mengenal pasti faktor kekalahan calonnya, antara lain, calon yang mewakili parti masih baharu selain peratusan pengundi dari luar yang rendah. Beliau berkata parti itu percaya, walaupun kalah, penyertaan Dyana Sofya dalam PRK itu mencetuskan gelombang politik baharu dalam kalangan orang muda. Terdahulu, Penasihat DAP Lim Kit Siang semasa berucap di depan kira-kira 200 penyokong dan jentera Pakatan Rakyat di sini malam ini, turut mengakui peratusan pengundi luar yang rendah menjadi antara penyebab parti itu tewas. "Saya berterima kasih kepada mereka yang telah balik namun jika lebih ramai balik, adalah lebih baik," katanya.