KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan memilih lima pelajar lepasan sekolah agama dan imtiaz yang menghafaz 30 juzuk al-Quran ke luar negara bagi mengikuti pengajian berasaskan aeroangkasa tahun depan. Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, melalui program saintis aeroangkasa itu, setiap pelajar akan diberi biasiswa penuh dengan semua yuran dan kos perbelanjaan ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri. "Lepas tamat pengajian, mereka akan berkhidmat dengan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) bagi tempoh beberapa tahun. Program ini adalah projek perintis bagi melahirkan saintis Islam dalam bidang aeroangkasa di mana sebelum ini ia dikuasai oleh Barat. "Insiden kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia, MH370 menyedarkan masyarakat dunia, termasuk Malaysia mengenai ketandusan ilmuan dalam bidang ini menyebabkan negara terpaksa bergantung kepada kepakaran negara Barat," katanya selepas menutup Karnival Aeroangkasa dan Pertandingan Wau Terbuka 2014 di sini. Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri perlu mengambil peluang ini bagi melahirkan saintis aeroangkasa yang Islamik dan fokus kepada pengkajian al-Quran kerana masih banyak rahsia yang belum dirungkai di dalam kitab suci itu. Beliau berkata, bagi menjayakan program itu, pihaknya turut bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi penyediaan kertas kerja dan mengenal pasti universiti sesuai untuk pengajian pelajar di luar negara. "Saya sudah minta UMT sediakan kertas kerja lengkap berkaitan perbelanjaan serta universiti sesuai termasuk negara China, Amerika dan Russia kerana mereka hebat dalam bidang ini. "Kebetulan pula tahun ini UMT ada mengikat kontrak dengan seorang pakar aeroangkasa dari Amerika maka kita akan ambil dia untuk jadi penasihat di PSKT," katanya.