PETALING JAYA: Polis mengambil cap jari dan sebatang gigi daripada mayat suspek kes pembunuhan kanak-kanak perempuan, Siti Soffea Emelda, untuk pengesahan identiti suspek itu. Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Dang Wangi Asisten Superintendan Suhaimi Muhamad berkata, identiti suspek sukar dikenal pasti ekoran keadaan mayatnya yang reput setelah ditemui terapung di Sungai Klang berhampiran plaza tol Sunway kira-kira 3 petang, Sabtu lalu. "Kita telah hantar ujian cap jari dan sebatang gigi suspek masing-masing ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan bahagian Rekod Jenayah Polis untuk mengetahui identitinya. "Tempoh dua hingga tiga hari diperlukan bagi memperoleh keputusan itu," katanya ketika ditemui pemberita di Bahagian Forensik di Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini, Isnin. Siti Soffea Emelda, yang berusia dua tahun enam bulan, dibunuh kejam dengan kepalanya terputus dipercayai akibat dikelar di tepi Sungai Klang berhampiran Stesen Komuter Kuala Lumpur di Jalan Hishamuddin di sini pada Khamis lalu. Saksi mendakwa melihat seorang lelaki merebahkan kanak-kanak itu di tepi sungai sebelum menghempaskan sesuatu ke kepalanya dan melakukan 'sesuatu' pada leher mangsa. Apabila saksi cuba menghampiri suspek, dia melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Klang. Suspek dipercayai dibebaskan dari Penjara Kajang pada 26 Mei lalu setelah menjalani hukuman penjara dua tahun atas kesalahan samun.