Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli berkata, walaupun gelaran tersebut sudah lama diamalkan, ia wajar dihentikan kerana ia seolah-olah menggambarkan satu kedudukan masyarakat dalam sistem feudal.
"Saya rasa jika panggilan YB berterusan ia seperti mengamalkan sistem feudal, seolah-olah kita berada dalam zaman bangsawan.
"Sebarang panggilan, gelaran untuk ahli Parlimen akan memberi ruang kepada seseorang wakil rakyat itu menyalahgunakan kuasanya seolah-olah mereka ada hak dengan kuasa dan gelaran yang mereka ada," katanya ketika dihubungi mStar Online, Isnin.
Mengulas perkara yang sama, Ahli Parlimen Sekijang (BN) Anuar Abd Manap berkata rakyat yang memanggil ahli Parlimen dengan gelaran YB tidak harus dipertikai.
"Kita adalah wakil yang mereka pilih, mereka percaya dan mereka rasakan layak untuk gelaran tersebut.
"Kalau tak mahu panggil YB pun terpulang sebab rakyat ada macam-macam jenis, tapi kalau mereka tak sayangkan kita mereka takkan panggil kita YB," katanya.
Beliau berkata, panggilan YB itu juga menunjukkan satu petanda positif bahawa rakyat kenal dengan ahli Parlimen mereka.
"Saya rasa panggilan YB sama di dalam atau luar dewan biarlah kekal, tak timbul masalah apa pun.
"Kalau tak panggil (YB) pun kita tak pernah marah," tegasnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Temerloh (PAS), Nasrudin Hassan pula berpendapat panggilan dan gelaran untuk seseorang ahli Parlimen tidak penting kerana apa yang lebih utama ialah tanggungjawab yang dipikulnya.
"(Panggilan) terpulang kepada pandangan dan pendapat masing-masing.
"Ia satu gelaran yang sudah diiktiraf tetapi yang penting wakil rakyat menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan betul," katanya.
Beliau yang pertama kali menjadi wakil di Dewan Rakyat bagi penggal ini berkata, dalam situasi tertentu, gelaran kemuliaan itu akan menjadikan seseorang itu leka dan lalai.