suria

Umno Serah Surat Tunjuk Sebab Kepada Ibu Dyana

Yammy (kanan) sentiasa menemani Dyana pada kempen PRK Teluk Intan baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Yammy Samat, ibu Dyana Sofya Mohd Daud yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan diberi surat tunjuk sebab kerana menyokong kempen calon parti yang menentang Barisan Nasional (BN) itu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ahli veteran Umno itu diberi tempoh 14 hari untuk menjawab surat yang dihantar pagi Selasa itu.

"Beliau (Yammy) perlu menjawab mengapa tidak boleh digantung keahliannya atau dipecat dari Umno berikutan tindakannya dalam kempen pembangkang pada PRK Teluk Intan," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Tengku Adnan berkata, dalam surat itu dinyatakan bahawa Umno menyedari bahawa calon yang bertanding adalah anak perempuannya, tetapi parti mempunyai disiplin.

Bagaimanapun, katanya, sama ada Yammy menjawabnya atau tidak, perkara itu akan dibawa kepada pihak pengurusan Umno sebelum ia dikemukakan kepada Majlis Tertinggi Umno.

"Majlis Tertinggi Umno kemudiannya akan memutuskan bentuk tindakan yang akan diambil," katanya.

Artikel Lain