PETALING JAYA: Ibu kepada Dyana Sofya Mohd Daud, calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Yammy Samat menyerahkan kepada pihak pengurusan Umno untuk menentukan kedudukannya sebagai ahli parti itu. Jelas Yammy, beliau akan membalas surat tunjuk sebab itu yang dikemukakan kepadanya dengan memberi penjelasan berhubung tindakannya mengiring Dyana semasa berkempen bersama parti pembangkang pada PRK itu. "Saya ada alasan tersendiri. Saya akan jawab surat itu dan terpulang kepada pihak pengurusan Umno sama ada nak pecat saya atau sebaliknya," kata Yammy ketika dihubungi mStar Online pada Selasa. Yammy yang juga ahli Umno Bahagian Ipoh Barat berkata, sehingga petang ini (Selasa), beliau masih belum menerima surat tunjuk sebab berkenaan. "Saya belum terima apa-apa surat lagi setakat ini," katanya. Menurut Yammy, tindakannya pada PRK itu tidak salah kerana beliau hanya mengiringi Dyana, bukannya berceramah di atas pentas untuk memburuk-burukkan Umno dan Barisan Nasional (BN). "Pada saya, ia tidak salah. Saya lakukannya sebagai seorang ibu yang ingin menjaga keselamatan seorang anak," katanya. Terdahulu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Yammy diberi tempoh 14 hari untuk menjawab surat yang dihantar pagi Selasa itu. "Beliau (Yammy) perlu menjawab mengapa tidak boleh digantung keahliannya atau dipecat dari Umno berikutan tindakannya dalam kempen pembangkang pada PRK Teluk Intan," katanya. Tengku Adnan berkata, dalam surat itu dinyatakan bahawa Umno menyedari bahawa calon yang bertanding adalah anak perempuannya, tetapi parti mempunyai disiplin. Bagaimanapun, katanya, sama ada Yammy menjawabnya atau tidak, perkara itu akan dibawa kepada pihak pengurusan Umno sebelum ia dikemukakan kepada Majlis Tertinggi Umno. "Majlis Tertinggi Umno kemudiannya akan memutuskan bentuk tindakan yang akan diambil," katanya.