suria

Jais Tak Ikut SOP Serbu Majlis Kahwin - MB

Abdul Khalid
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menyalahkan Jabatan Agama Islam negeri itu (Jais) kerana tidak mematuhi operasi standard (SOP) apabila menyerbu majlis perkahwinan Zarina Abdullah Majid yang dijalankan mengikut upacara agama Hindu, Ahad lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap pegawai yang didapati tidak mengikut SOP yang ditetapkan.

"Kerajaan negeri telah mengarahkan Jais supaya membantu Zarina menukar status agamanya bagi menyelesaikan isu ini. Dia boleh menukar namanya kepada nama yang dia kehendaki.

"Siasatan awal menunjukkan wanita ini didaftarkan atas nama Islam kerana ayahnya seorang Islam. Bagaimanapun atas faktor peribadi dia tidak pernah mengamalkan cara hidup Islam," katanya kepada pemberita selepas mempegerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Abdul Khalid menyifatkan serbuan Jais sebagai perkara yang 'memalukan' bagi jabatan berkenaan.

"Menurut Jais ia bukan serbuan. Menurut polis ia satu serbuan, bagi pihak kita ia satu serbuan dan ini memalukan.

"Majlis perkahwinan sepatutnya menjadi detik paling indah dan  mereka tidak wajar merosakkanya, " katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata  beliau mengarahkan pegawai daerah menyiasat kes kecurian pasir di Sungai Long, Kajang.

"Kalau itu membabitkan tanah persendirian, kerajaan negeri akan menjalankan proses pengambilan tanah itu," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain