GENTING HIGHLANDS: Penahanan ejen pembantu rumah warga asing kerana dipercayai membuang mayat seorang bayi membawa kepada penemuan sindiket yang memaksa pembantu rumah warga asing bekerja tanpa dibayar gaji dan didera secara seksual. Suspek dalam lingkungan 40-an didakwa melakukan penderaan seksual terhadap kira-kira 29 pembantu rumah yang bekerja untuknya. Lebih teruk lagi, gaji mereka turut tidak dibayar. Kesemua pembantu rumah itu tidak mempunyai permit kerja. Lelaki tersebut didakwa mengambil wanita tersebut bekerja sebagai pembantu rumah secara sambilan dan tukang cuci. Malah, lelaki tersebut turut dikatakan melakukan penderaan seksual terhadap semua pekerja wanita itu. Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, polis pada mulanya dimaklumkan mengenai kes itu pada 31 Mei selepas seorang wanita warga Indonesia yang mendakwa bekerja untuk ejen tersebut selama dua tahun membuat laporan polis mengenai kematian dan kehilangan bayinya. "Dia mendakwa mengandungkan bayi tersebut selepas dirogol oleh seorang majikannya tahun lalu," katanya. Bayi itu dilahirkan pada 21 November tahun lalu. "Apabila majikan mendapati wanita tersebut mengandung, dia menghantar wanita itu kepada ejennya. Kemudiannya wanita itu dipaksa bekerja untuk beberapa majikan lain sepanjang tempoh dia mengandung," katanya pada Rabu. Polis menyerbu tiga rumah di Kota Kemuning pada Isnin dan menahan 12 wanita warga Indonesia. Beliau berkata, seramai 12 wanita dan pengadu dalam lingkungan 20-an dan 30-an, tinggal lebih masa di negara ini dan bekerja tanpa permit. Wanita tersebut mendakwa mereka tidak dibayar gaji dan didera secara seksual oleh ejen dan majikan tempat mereka bekerja. Abdul Samah berkata polis menyerbu sebuah lagi rumah di Kota Kemuning pada Selasa dan menahan isteri ejen terbabit bagi membantu siasatan. "Suspek kemudiannya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Shah Alam pada malam Selasa," katanya. Abdul Samah berkata, pengadu melahirkan bayi lelaki itu pada 21 November tahun lalu dan rakannya menjaga bayi tersebut ketika dia keluar bekerja. "Pada 31 Mei, apabila dia kembali ke rumah di mana dia mendakwa dipaksa tinggal dengan wanita warga asing yang lain, dia diberitahu bahawa bayinya telah meninggal dunia dan dibawa oleh ejen tersebut," katanya. "Dia cuba menghubungi ejen tersebut tetapi gagal. Dia kemudiannya membuat laporan polis. "Pada pagi Rabu, suspek membawa kepada penemuan mayat seorang bayi lelaki berusia enam bulan dalam keadaan kembung dan berulat di sebuah gaung berdekatan Genting Highlands," kata Abdul Samah. Beliau berkata suspek mendakwa dia panik apabila mendapat tahu mengenai kematian bayi tersebut dan membuangnya ke dalam gaung. "Dia direman selama seminggu bagi membantu siasatan," katanya.