suria

Individu Terlibat Rundingan Kes Culik Di Pulau Sipadan Meninggal Dunia

Gao (kanan) dan Marcy dibebaskan pada 30 Mei lalu.
KOTA KINABALU: Ahli perniagaan di Sabah, Yusuf Hamdan antara individu yang terlibat dalam proses rundingan pembebasan 21 rakyat Malaysia dan warga asing yang diculik dari Pulau Sipadan, 14 tahun lalu, meninggal dunia akibat kanser pada Rabu.

Yusuf, 63, selamat dikebumikan di pekan Keningau selepas solat Zuhur.

Beliau menggunakan kenalannya di Selatan Filipina untuk memudahkan komunikasi dengan kumpulan Abu Sayyaf di kepulauan Jolo yang menjadi tempat tahanan 21 tebusan itu.

Tebusan itu terdiri yang daripada sembilan warga Malaysia, lima Jerman, dua Perancis, dua Afrika Selatan, dua Finland, dua Filipina dan seorang Lebanon diculik dari pusat peranginan terkemuka itu pada 23 April 2000.

Selepas berhubung dengan wakil kumpulan bersenjata Abu Sayyaf menerusi kenalannya di Selatan Filipina, Yusof menulis surat kepada pemimpin kanan negara, termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberitahu apa yang telah dilakukannya.

Dengan itu, proses rundingan bermula yang membawa kepada pembebasan semua tebusan, enam bulan kemudian.

Yusuf turut menggunakan kenalannya di Selatan Filipina bagi membantu rundingan beberapa kes penculikan di Sabah.

Beliau dikatakan membantu memulakan proses rundingan bagi pembebasan tebusan warga China, Gao Huayun, 29, dan pekerja hotel warga Filipina, Marcy Dayawan, 40, yang diculik dari Singamata Reef Resort dekat Semporna pada 2 April lalu.

Dua wanita tersebut dilarikan ke Kepulauan Jolo dan dibebaskan oleh kumpulan Abu Sayyaf pada 30 Mei, 59 hari selepas diculik susulan rundingan diantara anggota keselamatan Malaysia dan Filipina dengan kumpulan tersebut.

Difahamkan,antara kenalan Yusuf yang terkenal di Selatan Filipina adalah bekas Gabenor Tawi Tawi Sadikul Sahali.

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia