suria

Khalid Bertegas Laksana Kidex, Tidak Tunduk Desakan

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengulangi pendirian untuk meneruskan projek lebuh raya bertingkat Kinrara-Damansara (Kidex) dan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak.

Katanya dalam soal pembangunan, semua pihak harus mengutamakan kepentingan rakyat, bukan hanya mengkritik demi perjuangan politik.

"Adalah baik untuk kita mendengar penerangan bagaimana perancangan untuk selesaikan kesesakan jalan raya hari ini dan 20 tahun akan datang.

"Sebagai profesional, saya tidak boleh buat keputusan atas desakan hanya berlandaskan pemikiran politik saja tetapi kena ambil kira kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau mengulas kenyataan Anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo baru-baru ini yang menyelar sikap Menteri Besar itu kerana mahu meneruskan pembinaan Kidex yang dirancang di Petaling Jaya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Abdul Khalid berkata pihaknya telah membuat penambahbaikan SOP, namun perlu ada pembaharuan dari segi pelaksanaan.

"Kita akan adakan bengkel kepada pegawai penguat kuasa Jais agar kita dapat jalankan tugas dengan betul serta tidak menyusahkan rakyat," katanya.

Media baru-baru ini melaporkan Jais menyerbu satu majlis perkahwinan di sebuah kuil Hindu di Petaling Jaya selepas menerima aduan orang awam bahawa pengantin wanita beragama Islam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain