KOTA KINABALU: Bekalan elektrik di seluruh daerah Tenom, kira-kira 173 kilometer dari sini, pulih sepenuhnya pada 11.14 pagi Ahad selepas pemasangan dan pengoperasian 'stesen jana kuasa mini' di Pencawang Masuk Utama (PMU) Tenom. Menurut Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), stesen jana kuasa mini dengan kapasiti 3.4 MegaWatt (MW) itu adalah tambahan kepada 10 jana kuasa bergerak berkapasiti 4.3MW yang telah dioperasikan di beberapa pencawang elektrik sekitar daerah Tenom sejak 3 Jun lepas. "Empat set jana kuasa jenis kanopi dipindahkan dari Stesen Jana Kuasa Melawa milik SESB di Sepanggar untuk tujuan pemasangan stesen jana kuasa mini itu. SESB mengambil masa empat hari setengah untuk menyiapkannya," kata SESB dalam kenyataan di sini Ahad. Walau bagaimanapun, catuan bekalan elektrik secara bergilir akan dilaksanakan pada waktu beban puncak sekiranya permintaan tenaga elektrik melebihi kapasiti penjanaan sedia ada termasuk 'reserve margin' yang dipasang di Tenom. Sementara itu, kerja-kerja pembaikan kerosakan serius yang dialami alat ubah di PMU Tenom akibat kebakaran di pencawang itu pada pagi 3 Jun lepas masih giat dijalankan dan dijangka dapat disiapkan lewat malam Ahad. Pengguna di Tenom yang masih tiada bekalan elektrik akibat kejadian kebakaran alat ubah berkenaan diminta menghubungi talian Hotline SESB di 15454 atau 088-515000.