suria

Pekerja Pelantar Minyak Dakwa Lihat 'Pesawat Terbakar' Dipecat

PETALING JAYA: Akhbar harian New Zealand Sunday Star Times melaporkan bahawa warga New Zealand, Mike McKay, yang mendakwa melihat sebuah pesawat sedang terbakar terbang di perairan Vietnam pada bulan Mac, telah dipecat dari pekerjaannya berikutan dakwaan itu.

McKay, yang bekerja di pelantar minyak Songa Mercur telah menghantar e-mel dengan nama penuhnya dan nombor pasport New Zealand kepada pihak atasan pada bulan Mac selepas melihat sebuah kapal terbang terbakar yang dipercayai pesawat Malaysia Airlines (MAS), penerbangan MH370 yang hilang.

E-mel tersebut yang dibocorkan kepada media terkandung maklumat yang dikenalpasti sebagai pengendali pelantar, Idemitsu dan kontraktor McKay, Songa Offshore, maklumat yang membawa kepada petunjuk bahawa komunikasi kedua-dua syarikat itu disekat kerana dibanjiri pertanyaan.

Ekoran apa yang berlaku, pegawai-pegawai Vietnam telah menemuramah McKay dan bersedia untuk bertindak ke atas maklumat yang diberikannya sebelum usaha carian beralih ke laut Andaman dua hari selepas temubual dijalankan.

McKay juga telah membuat kenyataan untuk Interpol kepada polis New Zealand setelah kembali ke negaranya, di mana dia kini sedang menunggu kontrak Asia Tenggara yang baharu.

Sunday Star Times memetik McKay sebagai berkata bahawa dia dilepaskan dari pelantar lima hari lebih awal, tetapi dibayar sehingga akhir tempoh kerja.

Walau bagaimanapun, sub-kontraktor di bawah tempat dia berkerja, M-I Swaco berkata McKay telah dilepaskan awal kerana mereka telah menemui seorang jurutera tempatan untuk menggantikan tempatnya.

McKay, seorang pekerja veteran yang telah berkhidmat selama 35 tahun di Asia Tenggara menambah bahawa 'kontrak mempunyai makna yang kecil dalam kerjayanya' tetapi menegaskan bahawa dia percaya pesawat terbakar yang dilihat pada altitud tinggi itu adalah MH370.

"Saya percaya saya melihat kapal terbang Malaysia Airlines sedang menjunam. Masanya sesuai," kata McKay, yang menambah pesawat yang didakwa dilihat adalah di luar laluan penerbangan biasa, berdasarkan pemerhatian hariannya.


Dalam e-melnya, McKay, yang telah bekerja di perairan Vietnam secara konsisten sejak tahun 2008, memasukkan butiran tertentu seperti lokasi tepatnya di Songa Mercur, bearing kompas berkaitan apa yang dilihatnya dengan pelantar, permukaan semasa dan arah angin.

McKay bukan satu-satunya individu yang telah tampil dan menyatakan melihat pesawat yang terbakar, tetapi pelaut British, Katherine Tee juga dilaporkan melihatnya pada awal Mac.

Tee, 41, berkata dia telah belayar dari Cochin, India ke arah Phuket, Thailand dengan suaminya Marc Horn, 50, apabila dia melihat sesuatu seperti kapal terbang terbakar melintasi langit malam pada 7-8 Mac.

"Saya melihat sesuatu yang kelihatan seperti kapal terbang terbakar. Itulah yang saya terfikir pada masa itu. Kemudian, saya berfikir tentangnya dan saya akan menjadi gila... Ia menarik perhatian saya kerana saya tidak pernah melihat kapal terbang dengan cahaya oren sebelum ini, jadi saya tertanya-tanya mengenainya," katanya kepada Phuket Gazette.

Pada malam itu, dua pesawat lain dengan lampu navigasi biasa telah bergerak ke arah yang bertentangan.

"Saya masih ingat ketika itu saya berfikir jika apa yang saya lihat adalah kapal terbang terbakar, pesawat lain akan melaporkannya," tambahnya.

Tee tidak berkongsi pengalamannya dengan sesiapa sehingga mereka tiba di Phuket pada 10 Mac.

Artikel Berikut

Artikel Lain