suria

MH370: Permintaan Keluarga Bertemu PM Akan Dipenuhi

KUALA LUMPUR: Permintaan keluarga penumpang Penerbangan MH370 untuk menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan dipenuhi dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata pertemuan itu akan diatur dan Malaysia berharap dapat mewujudkan carta kerja dalam menangani isu yang dibangkitkan anggota keluarga penumpang pesawat malang itu.

"Kami akan meneruskan penglibatan secara langsung kami dengan anggota keluarga terutama di Malaysia dan China. Kami juga ingin memberi pujian kepada usaha kerajaan China dalam menangani isu berkaitan keluarga ini.

"Kami memberi jaminan sepenuhnya kepada waris, walau di mana mereka berada, bahawa kami terus komited sepenuhnya dalam usaha mencari orang tersayang mereka," kata beliau pada taklimat media berhubung usaha mencari dan menyelamat (SAR) di sini, Isnin.

Jailani berkata Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin yang mengetuai jawatankuasa waris akan berlepas ke Beijing dalam masa terdekat untuk memberi maklumat terkini kepada rakan sejawatan dari China mengenai usaha terbaharu di peringkat tiga pihak dan sumbangan Malaysia.


MH370

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain