suria

Kuaters Polis Terbakar, 7 Terselamat

Kuaters Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu yang terbakar pada Selasa.

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini berjaya menyelamatkan tujuh penghuni kuarters 'Sri Mantanani' Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang terperangkap selepas dua unit kediaman dijilat api pada Selasa.

Jurucakap Ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah ketika dihubungi berkata mereka yang diselamatkan terdiri daripada tiga orang dewasa, dua daripadanya wanita, dan empat kanak-kanak berumur antara satu hingga lima tahun.

Mereka terperangkap di tingkat empat bangunan itu, selepas kediaman mereka di tingkat satu dan dua terbakar.

Mangsa lelaki dewasa yang berumur dalam lingkungan 30-an diselamatkan menggunakan tangga bomba yang dipasang hingga ke tingkat empat manakala mangsa lain dibawa turun oleh anggota bomba menggunakan tangga kuarters itu.

"Kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun mereka batuk-batuk selepas terhidup asap. Mereka dihantar ke hospital dengan ambulans," kata jurucakap itu.

Menurut jurucakap berkenaan, mereka menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 1.37 tengah hari dan tiga jentera beserta 27 anggota, termasuk tiga pegawai, tiba di lokasi kejadian pada pukul 1.43 tengah hari.

Api dapat dikawal 20 minit kemudian sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2.31 petang.

Dalam kejadian itu, dua bilik dan ruang tamu pada satu unit kediaman di tingkat satu dan satu bilik di sebuah unit kediaman di tingkat dua kuarters itu mengalami kerosakan.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan namun kebakaran dikatakan bermula di tingkat satu kuarters itu.

Polis, Bomba

Artikel Lain