suria

Tujuh Ditahan, Enam Kenderaan Curi Dirampas

BUTTERWORTH: Polis Pulau Pinang menemui semula enam buah kenderaan termasuk sebuah lori yang dilaporkan dicuri dan menahan tujuh lelaki anggota sindiket mencuri kenderaan dalam dua serbuan di negeri ini pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk A.Thaiveegan berkata tiga lelaki berusia 30 hingga 40 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di dua buah bengkel kenderaan di Bagan Jermal dan Taman Kerapu, di sini dalam operasi pada 1 tengah hari itu.

"Menerusi Ops Cantas Khas itu, polis berjaya mengesan dua buah bengkel yang dipercayai milik anggota sindiket mencuri kenderaan dan menjadi lokasi sindiket berkenaan menyimpan untuk diubah suai sebelum menjual kepada pihak tertentu.

"Hasil pemeriksaan kita menemui tiga buah kereta pelbagai jenis di bengkel di Bagan Jermal dan tiga kenderaan termasuk sebuah lori di bengkel di Taman Kerapu yang dipercayai dicuri. Semuanya bernilai RM400,000," katanya pada sidang akhbar, di sini malam Rabu.

Katanya tujuh lelaki termasuk empat warga Myanmar yang ditahan itu merupakan pemilik dan pekerja di dua bengkel berkenaan yang dipercayai anggota sindiket mencuri kereta yang bergerak aktif di sekitar Pulau Pinang dan Kedah sejak beberapa bulan lepas.

Thaiveegan berkata siasatan juga mendapati dua daripada kenderaan yang ditemui semula itu dilaporkan hilang di Kedah baru-baru ini manakala selebihnya hilang di sekitar negeri ini sejak dua bulan lepas.

"Modus operandi sindiket ini adalah mencuri kereta atau apa sahaja kenderaan dan membawa ke beberapa bengkel anggota mereka sebelum ia diubah suai atau dileraikan komponennya dan dijual kepada pembeli dengan harga murah," katanya.

Katanya mereka yang ditahan itu direman bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan.

Beliau berkata usaha mengesan anggota sindiket itu giat dijalankan dan pihaknya percaya dengan penahanan tiga lelaki berkenaan polis akan dapat menumpaskan geng tersebut.

"Polis Pulau Pinang akan meneruskan Ops Cantas Khas kita dalam usaha membendung dan membanteras kegiatan jenayah di negeri ini terutama kes-kes melibatkan curi kenderaan yang merupakan faktor kepada peningkatan indeks jenayah di Pulau Pinang," katanya.


Polis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain