suria

Pembantu Rumah Warga Indonesia Didakwa Aniaya Kanak-Kanak OKU

SHAH ALAM: Seorang pembantu rumah warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Khamis atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak kelainan upaya (OKU) berusia 10 tahun empat bulan, yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi, sejak Februari hingga Mei lepas.

Tini Martini, 39, yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Majistret Farah Azura Mohd Saad.

Farah Azura menetapkan 14 Julai ini untuk mendengar rayuan sebelum menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan perubatan kanak-kanak perempuan itu.

Tini didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Khor Sze Syuen di sebuah rumah di Jalan Anggerik Vanda 31/168, Seksyen 31, Kota Kemuning mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2011 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin.

Terdahulu, Wan Noora Nisa memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh, yang mula bekerja di negara ini pada September tahun lepas, mencederakan kanak-kanak malang itu dengan cara memukul serta melempang.

pembantu rumah, Indonesia, OKU

Artikel Berikut

Artikel Lain