Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, butiran mengenainya akan dimuat naik di laman web, Lembaga Pengurusan Air Selangor (LUAS) minggu depan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Selangor sekiranya gagal mendedahkan laporan analisis kualiti air tersebut.
Khalid berkata ujian analisis dijalankan secara bebas oleh Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd, Puncak Niaga Holdings Berhad dan Kementerian Kesihatan.
"Analisis tersebut bukan saja dari bekas lombong di Bestari Jaya tetapi dari 20 kolam termasuk air yang diambil dari sungai-sungai di sini untuk rawatan," katanya.
Beliau berkata, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi akan mengeluarkan kenyataan pada Jumaat berhubung hasil keputusan analisis air tersebut.
Katanya, LUAS juga akan mengadakan bengkel untuk pihak berkepentingan untuk menunjukkan kepada mereka bagaimana air dianalisis."Dalam setiap bekalan air, walaupun air yang dirawat, terdapat kehadiran logam berat.
"Bagaimanapun, apa yang penting adalah sama ada pengesanan elemen berada pada tahap seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan," katanya.