suria

Agong Perkenan Status Diraja Untuk Floria Putrajaya

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan melihat burung ketika melawat ke Taman Bunga DiRaja selepas merasmikan Festival Floria DiRaja Putrajaya, Sabtu. Turut sama Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat (tengah). -fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Sabtu memperkenankan status diraja untuk Festival Taman Bunga dan Taman Putrajaya yang bermula tahun ini dikenali sebagai Festival Floria Diraja Putrajaya. 

Baginda memberi perkenan itu ketika menyempurnakan perasmian festival di Pesisiran Tasik, Presint 4 di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. 
Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Dr Aseh Che Mat, Seri Paduka berdua mencemar duli kira-kira sejam melawat tapak pameran termasuk Taman Diraja, Taman Kucing dan Pavilion (Flora Pavilion).

Bertemakan 'Begonia-Pesona Warna' festival kali ini mempamerkan 400,000 pokok pelbagai spesies dan kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan dari kawasan tropika dan subtropika termasuk lebih 60 dari spesies Begonia atau pokok asam batu.

Sementara itu Aseh yang ditemui pemberita kemudian, berkata status diraja tersebut akan mengangkat imej festival dalam peta pesta bunga-bungaan dunia.

Status ini setanding dengan sesetengah floria antarabangsa seperti Royal Chelsea Flower Show dan dengan status ini juga bermakna Yang di-Pertuan Agong akan berkenan merasmikannya setiap tahun, kata Aseh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Floria Diraja Putrajaya 2014.

Tengku Adnan pula berkata festival menunjukkan komitmen berterusan kementeriannya untuk meletakkan Putrajaya sebagai antara destinasi dalam peta pesta bunga-bungaan dunia sejajar dengan konsep Putrajaya sebagai Bandar Dalam Taman.

Festival ini bertindak serampang dua mata dalam memajukan sektor bunga-bungaan dan landskap negara kerana menerusinya pengusaha boleh menjalinkan rangkaian kerja dengan negara luar, katanya.

Festival tahunan anjuran PPj itu merupakan yang ketujuh dan kali ini membabitkan penyertaan 37 pereka bentuk taman dan penggubah bunga antarabangsa dari 22 negara termasuk Amerika Syarikat, Singapura dan Taiwan.

Festival berlangsung selama sembilan hari bermula semalam sehingga 22 Jun ini dan dibuka dari 9 pagi hingga 10.30 malam (Isnin hingga Khamis) dan 9 pagi hingga 12 tengah malam (Jumaat hingga Ahad) dengan bayaran masuk RM3 untuk dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.
Floria Putrajaya, status Diraja

Artikel Lain