suria

Komponen BN Pulau Pinang Perlu Perbaiki Kelemahan

Tengku Adnan
GEORGE TOWN: Parti komponen Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang diminta memperbaiki kelemahan yang ada, termasuk masalah dalaman sebelum menumpukan kepada perjuangan masa depan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi mengelak kesilapan serupa berulang terutama dari segi meraih sokongan rakyat.

"Setiap wakil rakyat perlu lihat semula apa masalah di kawasan, mereka perlu tahu apa yang mereka perlu buat dan apa yang diperlukan oleh rakyat, kita sedang berdepan dengan peperangan.

"Kita mahu ambil kembali Pulau Pinang yang telah kita bina, seperti yang semua tahu bukan DAP yang bina Pulau Pinang, agak memalukan kita memberikan negeri kepada orang yang tidak mampu menguruskannya dengan baik," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Terdahulu ketika berucap merasmikan Konvensyen Parti Progresif Penduduk (PPP) 2014, Tengku Adnan berkata, dalam perjuangan untuk membawa perubahan, semua pihak perlu mengetepikan kepentingan diri.

"Kalau pentingkan individu tertentu percayalah kita tidak akan berjaya...bukan mudah untuk kita membuat perubahan tetapi perubahan itu terpaksa kita lakukan untuk masa depan yang lebih terjamin," katanya.

Sementara itu, Presiden PPP, Tan Sri M. Kayveas dalam ucapannya berkata, fokus utama parti tersebut ialah bekerjasama dengan parti komponen BN yang lain bagi merampas semula Pulau Pinang.

Artikel Lain