suria

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Diumum Dalam Tempoh Terdekat

KUALA LUMPUR: Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini membabitkan 13 barangan akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Antara barangan tersebut adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, teluar gred A, B dan C, kubis bulat import, bawang putih, ikan bawal putih besar dan udang putih besar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata, perkara tersebut kini masih lagi diperingkat perbincangan dengan beberapa pihak berkaitan.

"Buat masa ini, kita masih berbincang dengan pembekal, penternak dan Kementerian Petanian dan Asas Tani bagi mengelakkan timbul sebarang masalah," katanya kepada pemberita pada program pembersihan bersama komuniti penjaja di Jalan Masjid India di sini, Isnin.

Bagaimanapun, Hassan berkata, pihaknya akan memastikan skim kawalan ini diumumkan dalam masa terdekat yang kebiasaannya akan dikuatkuasakan seminggu sebelum dan selepas hari raya.

Katanya, untuk mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga pada musim perayaan itu, seramai 1,800 pegawai penguatkuasa KPDNKK dan 800 pemantau harga akan memantau harga barangan terkawal di seluruh negara.

"Pemantauan akan dilakukan 24 jam sepanjang tempoh penguatkuasaan skim harga barang kawalan itu. Kita juga minta pengguna supaya membuat aduan sekiranya berlaku kenaikan harga barang pada musim perayaan itu nanti," katanya.

Hasan berkata, sekiranya ada dikalangan peniaga yang ingkar dengan harga ditetapkan itu, mereka boleh didakwa di mahkamah mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Kita dimaklumkan oleh Jabatan Peguam Negara bahawa peniaga yang menaikkan harga barang kawalan sesuka hati tidak lagi dikenakan kompaun. Tapi kini mereka akan terus didakwa ke mahkamah," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang gagal mematuhi arahan ditetapkan itu.

Terdahulu, KPDNKK mengadakan aktiviti pembersihan bersama komuniti penjaja di bawah inisiatif Program Penjaja 1Malaysia (PP1M) di Jalan Masjid India, di sini, Isnin.

Antara agensi yang terlibat adalah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Latihan Khidmat Negara, Jabatan Pertahanan Awam dan 1 Malaysia For Youth (1M4U).




Aidilfitri, Masjid India

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain