suria

Mesyuarat Tertutup Isu Rampasan Bible Jadi Tanda Tanya

SHAH ALAM: Mesyuarat antara Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berlangsung selama lebih dua jam berhubung isu rampasan naskhah Bible dalam bahasa Malaysia berakhir dengan tiada sebarang pendedahan mengenai perkara yang diperbincangkan secara tertutup itu.

Ketika ditemui The Star pada Isnin, Timbalan Ketua Pengarah Jais, Ahmad Zaki Arshad enggan untuk memberikan komen, sebaliknya hanya berkata: "Buat pun salah, tak buat pun salah."

Sehubungan itu, para pemberita diberitahu supaya mendapatkan komen Abdul Khalid di lobi bangunan sekretariat kerajaan negeri.

Bagaimanapun, selepas kira-kira sejam menunggu, kereta Menteri Besar yang sebelum itu dilihat menunggu di kawasan lobi beredar tanpa Abdul Khalid.

Pegawai media Abdul Khalid berkata, tidak diketahui sekiranya pejabat Menteri Besar akan mengeluarkan kenyataan atau tidak.

Mesyuarat itu membabitkan beberapa pihak berkuasa berkaitan, termasuk Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid bagi mencapai kata sepakat berhubung isu rampasan naskhah Bible daripada Persatuan Bible Malaysia (PBM) pada 2 Januari lalu, sebelum mendapat perkenan daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Artikel Lain