LAHAD DATU: Salah seorang daripada dua orang yang diculik oleh lelaki bersenjata Filipina dari pusat ternakan ikan dalam sangkar berhampiran Kunak di pantai timur Sabah awal Isnin telah berjaya melarikan diri. Difahamkan, pekerja yang hanya dikenali sebagai Maslan itu bertindak terjun dari bot laju kumpulan lelaki bersenjata, manakala penternak ikan Chan Sai Chiun dari Perak masih tidak diketahui nasibnya. Maslan dipercayai melarikan ketika bot itu memecut dan berenang naik ke darat untuk membuat laporan polis. Kumpulan lelaki bersenjata itu telah menculik Chan dan Maslan kira-kira pukul 12.45 pagi dari pusat ternakan di Kampung Sapang di Kunak kira-kira 60km dari sini. Bersenjatakan senapang, dua lelaki bertopeng menyelinap masuk ke kawasan yang gelap yang merupakan kawasan tempat tinggal pekerja pusat ternakan ikan itu dan menculik dua orang yang sedang tidur di dalam bilik mereka, menurut sumber. Mereka berkata Chan dan Maslan telah ditolak ke dalam sebuah bot laju dengan kelajuan 40 kuasa kuda di mana dua lagi rakan sejenayah dilihat menunggu di dalam bot berasingan.