LAHAD DATU: Sebaik saja pemilik sangkar ikan, Chan Sai Chiun dan seorang pekerja diculik kumpulan senjata Filipina - kes penculikan ketiga dalam tempoh tiga bulan, dibawa menuju ke Alice Reef (sempadan Malaysia-Filipina). Chan, 32, dan pekerjanya seorang warga Filipina, Maslan, 20, dibawa menaiki bot laju dari pusat ternakan ikan itu yang terletak di Kunak, kira-kira 60 kilometer dari Lahad Datu oleh seramai empat lelaki bersenjata kira-kira pukul 12.45 pagi Isnin. Terdapat laporan bahawa Maslan berjaya terjun dari bot laju tersebut dan berenang naik ke darat sebelum membuat laporan polis. Polis sedang memburu kumpulan bersenjata terbabit yang dipercayai memasuki wilayah Tawi Tawi di selatan Filipina bersama tebusan mereka. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Omar Mamah berkata penculik tersebut yang membawa senjata panjang menyerupai senapang M-16 mendayung bot tersebut memasuki pusat ternakan ikan di di Kampung Air Sapang, Kunak dekat sini. "Ketika kejadian, Chan dan isterinya keluar dari bilik mereka apabila terdengar bunyi bising di luar bilik tersebut. "Lelaki bersenjata itu mengacukan senjata ke arah Chan dan mengarahkannya untuk masuk ke dalam bot manakala isterinya berjaya melarikan diri ke dalam bilik lain. "Kami tidak pasti bila mereka menculik Maslan kerana isteri Chan tidak bersama mereka," katanya. Omar berkata, Maslan tinggal dekat dengan bilik pasangan suami isteri terbabit yang terletak di pusat ternakan ikan yang dibuka Chan bersama dua lagi rakan kongsi tiga bulan lalu. Katanya, suspek itu dipercayai terdiri daripada kumpulan menculik untuk tebusan (KFR) dan berpangkalan di Tawi Tawi mendayung bot sepanjang 5 meter dengan kekuatan 40 kuasa kuda, memasuki pusat ternakan ikan itu secara senyap. "Tempoh penculikan memakan masa kurang dari lima minit dan tiada tembakan dilepaskan," katanya. Omar berkata, semua pasukan keselamatan dibawah Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) telah dikerahkan turut serta dalam operasi menyelamat dan memburu kumpulan tersebut. Polis turut menyiasat latar belakang Maslan untuk memastikan sama ada dia merupakan pekerja yang memiliki dokumen sah. Omar tidak menolak kemungkinan bahawa kumpulan bersenjata itu mungkin memasuki Sabah sehari sebelum insiden itu. "Kumpulan ini sedang mencari 'komoditi' dan tidak mengambil kira sama ada tebusan adalah pelancong asing atau pemilik sangkar ikan," katanya.