Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM500 masing-masing terhadap Mohd Chairil Anuar Mahmud, 30, dan Rosnita Abdul Rahman, 36, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan bergaduh.
Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua mereka yang tidak diwakili peguam, dipenjara sebulan jika gagal membayar denda itu.
Mohd Chairil Anuar dan Rosnita didakwa bergaduh di tempat awam dengan menggunakan tangan sesama sendiri dengan tujuan mengganggu ketenteraman awam berhampiran Hotel Leo & Phonix di Jalan Sungai Besi, di sini pada 3.40 pagi 7 Jun lepas.
Terdahulu, ketika rayuan Mohd Chairil Anuar memohon mahkamah meringankan hukuman kerana dia mempunyai tanggungan isteri dan dua orang anak yang masih kecil.
Sementara Rosnita dalam rayuannya memohon hukuman diringankan kerana mendakwa dia hanya ingin mempertahankan diri ketika kejadian berlaku.
Timbalan Pendakwa Raya Nithia Sivasamy memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana kesalahan itu tidak sepatutnya dilakukan oleh orang dewasa dalam apa jua masalah.