suria

Fuziah, Surendran Digantung Dewan Rakyat

Surendran (kanan) dan Fuziah (dua, kanan) digantung menghadiri sidang Parlimen selama dua hari.
KUALA LUMPUR: Dua Ahli Parlimen pembangkang digantung daripada persidangan Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 44 (2) kerana ingkar arahan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Arahan penggantungan itu dibuat kepada Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) dan N. Surendran (PKR-Padang Serai) selepas kedua-dua wakil rakyat itu berkeras untuk berhujah berhubung isu Lynas.

Fuziah dan Surendran masing-masing digantung menghadiri sidang Parlimen selama dua hari bermula hari ini.

Sebelum ini pada sesi persidangan November tahun lalu, Surendran yang merupakan Ahli Parlimen penggal pertama pernah digantung selama enam bulan kerana menghina Speaker.

Drama penggantungan wakil rakyat itu bermula apabila Fuziah mempersoalkan keputusan Pandikar Amin yang menolak rayuannya untuk berhujah mengenai Lynas.

Ketika Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee mempengerusikan persidangan, Fuziah menuduh Parlimen memihak kepada kerajaan berdasarkan alasan penolakan usul rayuannya.

Bagaimanapun Kiandee menjelaskan bahawa keputusan Speaker adalah muktamad dan beliau menasihatkan Fuziah supaya mengemukakan usul persendirian berhubung isu berkenaan mengikut peraturan mesyuarat.

Namun Fuziah tidak menghiraukan nasihat berkenaan dan terus berhujah dengan mempetikaikan keputusan Speaker.

Fuziah terus mencetuskan kekecohan di dalam Dewan apabila Pandikar Amin masuk mengambil alih sesi persidangan.

Pandikar Amin menegur tindakan beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang secara berterusan mempertikaikan kredibiliti Speaker sebagai pengerusi persidangan sama ada di dalam atau luar Dewan Rakyat.

Artikel Lain