PUTRAJAYA: Insiden penculikan di Sabah kebelakangan ini mesti diatasi segera agar tidak menjejas keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan negara, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal. "Saya berharap sungguh supaya perkara ini dapat kita banteras sebaik mungkin, sama ada pembabitan orang dalam, kelemahan pasukan keselamatan atau pun ada unsur-unsur rasuah dan sebagainya. "Buat apa yang sepatutnya. Jangan perkara ini di luar kawalan kita sehingga ia tidak boleh dikawal dan akan memudaratkan," kata Shafie. Beliau yang juga Anggota Parlimen Semporna, mengulas kejadian penculikan terbaharu di Kampung Sapang, barat Pulau Timbun Mata, Sabah pada 15 Jun. Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah malam itu, pengusaha pusat ternakan ikan dalam sangkar, Chan Sai Chiun, 32, dan seorang pekerja yang hanya dikenali sebagai Mazlan berumur sekitar 20-an diculik dua lelaki bersenjata di pusat itu. Ini merupakan kes penculikan ketiga di kawasan pantai timur Sabah tahun ini. Pada 6 Mei lepas, lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China di Pulau Baik di Lahad Datu, sebulan selepas seorang pelancong wanita warga China diculik di sebuah resort di Semporna. Mengulas lanjut Shafie berkata kejadian seumpama itu menjejaskan kehadiran pelancong ke negeri itu. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata insiden penculikan di Sabah memberi impak negatif terhadap sektor pelancongan, terutama kedatangan pelancong dari China. Menurutnya, sehingga April lepas, sebanyak 76 penerbangan berjadual dan sewa khas dari China ke Kota Kinabalu telah dibatalkan.