suria

Kenyataan 'Celaka' Rayer Tidak Semestinya Menghasut - Abdul Rahman Dahlan

Abdul Rahman Dahlan.
PETALING JAYA: Pembuat dasar menyifatkan kenyataan 'celaka' yang dikeluarkan R.S.N Rayer adalah tidak sesuai tetapi tidak semestinya menghasut.

"Terus-terang saya katakan, kenyataannya tidak menghasut tetapi ia menimbulkan rasa meluat.

"Perkataan celaka amat menyinggung perasaan orang Melayu. Sudah jelas dia tidak suka pada Umno dan Barisan Nasional tetapi beliau tiada hak untuk berkata sedemikian mengenai parti ini. Beliau juga tidak perlu mengucapkan perkataan tersebut," kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bulan lalu.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Kebangsaan Pas, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata penangkapan Rayer menunjukkan mengapa Akta Hasutan perlu dimansuhkan kerana ia tidak melihat ke dalam konteks dan niat.

Namun, Mujahid menegaskan apa yang dilakukan Rayer tidak betul.

"Saya mungkin tidak bersetuju dengan apa yang diperkatakan Rayer, namun, menyifatkan ia sebagai bahasa kesat adalah isu lain.

"Melainkan ia adalah kata kesat dan bertujuan untuk menghasut orang lain, saya tidak akan membuat laporan polis dan hanya membantah tindakan tersebut semasa persidangan DUN.

"Kita harus bersopan santun dengan kata-kata kita," kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu.

Rayer ditahan polis pada Rabu berhubung kenyataan 'celaka' yang diucapkannya pada persidangan DUN baru-baru ini.

Beliau dijangka didakwa kerana menghasut pada Khamis.


Artikel Lain