suria

Guru Mengaku Tidak Bersalah Atas Tuduhan Menghasut

KUALA LUMPUR: Seorang guru pendidikan khas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini atas pertuduhan menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman sosial Facebooknya yang menyentuh sensitiviti penganut agama Hindu semasa perayaan Thaipusam, pada 17 Januari lepas.

Hidayat Mohamed, 35, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Mohd Puzi.

Hidayat, yang mengajar di sebuah sekolah di Segambut didakwa menerbitkan satu penerbitan yang menghasut di laman Facebook miliknya di https://www.facebook.com/WiFiZoneDesaRejang.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di rumahnya di Taman Raintree, Batu Caves dekat sini pada 11.13 pagi, 17 Januari lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, namun Hidayat yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan itu dengan alasan dia perlu menyara ibu serta adik yang masih bersekolah.

Hidayat, yang memakai kot dan berseluar hitam berkata dia tidak akan melantik peguam untuk mewakilinya dan akan membela dirinya sendiri.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Julai depan untuk sebutan kes.


guru pendidikan khas, menghasut

Artikel Lain