KUALA LUMPUR: Datuk Nur Jazlan Mohamed menafikan dakwaan kononnya beliau mengesahkan Peguam Negara menghalang Speaker Dewan Rakyat membentangkan laporan berhubung skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Parlimen.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu berkata, namanya sengaja digunakan oleh Ahli Parlimen pembangkang yang turut menganggotai PAC bagi tujuan mengelirukan rakyat.
"Apa yang berlaku ialah PAC telah siapkan laporan mengenai NFC dan sudah menghantarnya kepada Speaker Dewan Rakyat. Speaker kemudiaanya mendapatkan pandangan daripada Peguam Negara sebelum membentangkan laporan itu di Dewan Rakyat.
"Saya dimaklumkan Peguam Negara berpandangan bahawa terdapat subjudis dalam laporan berkenaan. Jadi Speaker membuat keputusan untuk menangguhkan pembentangan laporan itu pada sesi ini," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, Khamis.
Beliau mengulas kenyataan empat wakil rakyat pembangkang diketuai Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee yang mendakwa wujud campur tangan daripada Peguam Negara agar laporan NFC tidak dibentangkan di Parlimen.