Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Azman Abdul Razak berkata mayat lelaki dijumpai terapung pada 12.20 tengah hari ini dan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.
"Seorang wanita berusia 34 tahun pula ditemui selamat di Tanjung Sepat dan sekarang jumlah yang masih kena cari adalah 23 orang. Setakat ini 63 penumpang bot berkenaan ditemui selamat" katanya.
Beliau berkata, angka 97 adalah angka kasar, mungkin ada lebih atau kurang, mangsa selamat dan mati adalah dalam kalangan yang tidak ada sebarang dokumen perjalanan sah dan ada yang pas lawatan tamat tempoh.
Beliau percaya peratusan mangsa yang masih hidup agak tinggi dan sekiranya mereka masih terselamat, kemungkinan mereka melarikan diri bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.
Mengenai kejadian bot karam terbaru di Beacon Api Gila, perairan Sepang, pagi ini, beliau berkata pihaknya merancang untuk melaksanakan pelan tindakan lebih komprehensif bagi mengelakkan kejadian itu berulang.