suria

Rundingan, Kesepakatan Cara Terbaik Asean Selamat - Abdullah

Abdullah Ahmad Badawi
BEIJING: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, cara terbaik bagi negara anggota Asean mencapai keselamatan bersama ialah dengan meningkatkan kerjasama melalui rundingan dan kesepakatan.


Kata beliau, melalui cara itu juga, rantau itu dapat menikmati pertumbuhan dan transformasi lebih hebat, manakala kedudukan setiap negara anggota Asean pula akan menjadi lebih kukuh.

"Biar apapun cabaran yang mungkin kita hadapi pada masa akan datang, ia perlulah dihadapi secara bersama," kata Abdullah dalam ucapannya pada Forum Keamanan Dunia Ketiga di sini pada Sabtu.

Abdullah berkata, platform kerjasama seperti Asean dan Asean Campur Tiga, yang dibangunkan secara bersama oleh negara terbabit, turut memberi manfaat besar dari segi ekomomi dan sosial kepada seluruh penduduk Asia.

Bagaimanapun, kata beliau, tugas paling mendesak bagi Asean sekarang ialah mengukuhkan platform berkenaan dan memaksimumkan penggunaannya bagi menggalakkan lebih banyak dialog diadakan untuk membolehkan negara anggota Asean meningkatkan kefahaman, kompromi dan kedudukan sesama mereka.

"Kolaborasi dan kerjasama kini bukan lagi merupakan kemewahan, tetapi suatu keperluan. Oleh itu, langkah perlu diambil untuk memupuk keamanan, membina sikap saling mempercayai dan memikul tanggungjawab kita sebagai individu dan negara," katanya.

Bertemakan "In Pursuit of Common Security: Peace, Mutual Trust and Responsibility" (Memburu Keselamatan Bersama: Keamanan, Saling Mempercayai dan Bertanggungjawab), forum dua hari ini dianjurkan Tsinghua University, dengan kerjasama Kementerian Luar China.

Ia merupakan forum keselamatan antarabangsa peringkat tinggi melibatkan pertubuhan bukan kerajaan pertama yang dihoskan China sebagai platform untuk pemimpin dunia membincangkan isu keselamatan di rantau Asia Pasifik, Timur Tengah dan Asia Tengah, di samping langkah untuk mengawal pengeluaran nuklear.

Abdullah diiringi isteri, Tun Jeanne Abdullah dan dihadiri Duta Besar Malaysia di China, Datuk Iskandar Sarudin serta isteri Datin Rahmah Mohd Lajis. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain