suria

Kemunculan Buaya Cetus Persoalan Baki Mangsa Bot Karam Dibaham

Anggota APMM mengangkat mayat seorang mangsa bot karam di Beacon Api Gila, perairan Sepang pada Sabtu. - fotoBERNAMA
KUALA LANGAT: Kemunculan buaya berhampiran jeti pangkalan nelayan Kampung Kelanang menimbulkan keraguan tentang kemungkinan ada di antara 20 mangsa yang masih hilang akibat bot karam di perairan Sungai Air Hitam Selasa lalu, dibaham buaya. 

Pemangku Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor Mohd Jaman Haris berkata orang ramai membuat pelbagai andaian mengenai baki mangsa yang masih belum ditemui. 

"Buaya ini ditemui oleh beberapa orang nelayan tempatan di sungai berhampiran jeti, namun saya tidak berani mengatakan ia berlaku kerana kita tidak tahu hal sebenar," katanya ketika ditemui di sini, Sabtu.

Beliau yang juga Pemangku Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor dan telah menjadi nelayan sejak 20 tahun lepas, menegaskan bahawa spesies buaya yang ditemui itu juga merupakan spesies buaya air tawar dan mustahil untuk buaya-buaya ini masuk ke laut. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Langat, Supt. Azman Abdul Razak berkata, polis tidak pernah menerima sebarang laporan serangan buaya di kawasan sekitar jeti Pangkalan Nelayan Kelanang setakat ini. 

Bagaimanapun menurut sumber polis, enam mangsa yang mungkin di antara mereka yang hilang telah melarikan diri ke lokasi yang belum dikenalpasti. 

"Kita juga tidak menolak kemungkinan kira-kira enam atau tujuh mangsa sempat melarikan diri ke lokasi yang belum dikenalpasti," katanya.

Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan jumlah mangsa hilang kekal 20 orang, 63 selamat dan 14 orang maut. 

Sembilan daripada 14 mayat telah dituntut dan akan dihantar pulang ke Acheh, Indonesia pada Ahad.
bot, karam, Sungai Air Hitam, buaya

Artikel Sebelum

Artikel Lain